BAB 1
PENGENALAN
1.0
PENGENALAN
Daerah
Belaga1[1] merupakan daerah yang
kebanyakan diduduki oleh masyarakat Orang Ulu, seperti suku kaum Kenyah, Kayan,
Penan, Punan, Sihan, Kajang, Ukit, Beketan dan Tanjung. Daerah Belaga
bersempadanan dengan Daerah Baram, Bintulu, Tatau dan Kapit, dan dengan
Kalimantan Tengah, Indonesia. Banjaran Iran adalah merupakan garisan sempadan
semula jadi yang memisahkan Daerah Belaga dengan Kalimantan Tengah. Daerah
Belaga dihampari oleh kawasan dataran tanah tinggi (kebanyakan melebihi 4,000
kaki dari paras laut) dan kawasan lembangan-lembangan sungai. Sungai-sungai
utama yang terdapat di daerah Belaga adalah seperti Sungai Balui (kawasan Hulu
Sungai Rajang) Sungai Linau, Sungai Plieran dan Sungai Belaga. Jumlah penduduk
yang mendiami daerah ini dianggarkan seramai 20 000 orang.
Kaum
Kajang dikatakan telah mendiami kawasan tebingan sungai hulu batang Rajang dan
hilir batang Balui sejak lebih seratus tahun yang lalu. Kaum Penan yang pada
mulanya berpindah randah mula duduk secara tetap sejak awal tahun 1970-an di
kawasan sungai Danum, sungai Linau, sungai Plieran dan Long Urun. Kaum Kayan
dan Kenyah pula dipercayai berasal dari Apo Kayan, iaitu suatu penempatan yang
besar terletak di sungai Mahakam, Kalimantan, Indonesia. Mereka berhijrah ke
Belaga menyusuri sungai Balui dan terus menetap di situ sejak pertengahan abad
ke-19.[2] Orang Melayu dan Cina
dipercayai datang dari kawasan sekitar Sibu dan berhijrah ke Belaga pada
sekitar tahun 1900. Dari corak penghijrahan mereka menentukan pola penempatan
kaum-kaum berkenaan. Masyarakat Melayu dan Cina mendiami kawasan pekan Belaga,
manakala kaum Kayan dan Kenyah tinggal di kiri dan kanan sungai Balui.
Kebanyakan kaum Kajang mendiami tebingan sungai di hilir sungai Balui.
Kejaman
dan Sekapan dua kaum terpenting dalam kumpulan Kajang yang mempunyai perbezaan
pendapat mengenai kewujudan Kajang dan sejarah kewujudannya. Kaum Sekapan dan
Kejaman sememangnya mempunyai banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan
sejarah. Maka kaum yang paling layak dipanggil sebagai Kajang adalah Kejaman,
Sekapan dan Lahanan. Kajang merupakan kaum yang bukan dari suku kaum Iban,
Cina, Bidayuh, Melayu dan bangsa Eropah. Kajang dipimpin oleh Sekapan dan lebih
bertujuan untuk membantu serta mengukuhkan kedudukan politik kaum minoriti
Sekapan untuk menguasai kaum majoriti dalam Kajang seperti Punan dan Kejaman. Justeru,
kaum Kajang hanya tertumpu di sekitar Belaga.
TAJUK KAJIAN
Tajuk
kajian merupakan perkara penting yang perlu ada dalam sesebuah penulisan
Sejarah. Justeru, sebelum memilih tajuk kajian, saya telah mengambil kira
beberapa aspek seperti kawasan kajian iaitu di kawasan tempat tinggal saya
sendiri dan juga melihat kepada kebolehan sesebuah tajuk kajian yang saya pilih
untuk mendapatkan sumber yang mencukupi untuk penulisan Sejarah. Oleh yang
demikian, tajuk kajian yang akan saya lakukan dalam penulisan sejarah ini ialah
berkaitan dengan Sejarah Asal Usul Masyarakat Sekapan Di Daerah Belaga.
1.2 PERMASALAHAN KAJIAN
Saya
akan mengupas mengenai Sejarah Asal Usul Masyarakat Sekapan di Daerah Belaga.
Selain itu, kajian ini dilaksanakan juga adalah disebabkan kurangnya penulisan
sejarah berkenaan dengan sejarah asal usul masyarakat Sekapan yang ditulis oleh
penulis Sejarah Di samping itu, kajian yang dilakukan juga adalah untuk
mengkaji sejauh manakah asal usul masyarakat Sekapan berperanan dalam
perkembangan sosiobudaya di daerah Belaga.
1.3 TINJAUAN KAJIAN LEPAS
Saya
akan mengkaji mengenai Sejarah Asal Usul Masyarakat Sekapan yang sudah wujud di
daerah Belaga sejak lebih seratus tahun dahulu dan Belaga merupakan
satu-satunya kawasan di Sarawak yang merupakan petempatan masyarakat atau kaum
Sekapan di Malaysia. Justeru, dalam kajian ini terdapat beberapa tinjauan
daripada kajian lepas yang saya gunakan untuk menyokong penulisan Sejarah saya
ini. Antaranya ialah Charles Tenggoi (1989) menyatakan bahawa kaitan orang
Melanau dengan orang Kajang berdasarkan sejarah lisan, organisasi sosial, adat
istiadat dan budaya kebendaan dan bahasa mereka.[3]
Selain
itu, Clayre (1971) menyebut tentang Melanau Bintulu yang mempunyai persamaan
bahasa dengan Sekapan. Contoh perkataan yang dibandingkan oleh Clayre ialah bawai-naik, dan baai-turun.[4] Tinjauan kajian lepas yang
seterusnya ialah daripada Nalong dan Johnny (2009) yang menyatakan bahawa
keturunan Sekapan sebenarnya berasal daripada keturunan Melanau yang berhijrah
dari Bali, Indonesia ke Kalimantan dan seterusnya berhijrah ke kawasan Batang
Rajang. Keturunan Melanau yang telah berhijrah ke Batang Rajang telah menetap
di sana sehingga sekarang dan berpecah kepada beberapa bangsa kecil yang kini
dikenali sebagai bangsa Kejaman, Sekapan, Lahanan dan Punan.[5]
1.4
OBJEKTIF KAJIAN
Dalam
sesebuah penulisan Sejarah, objektif kajian merupakan perkara yang penting
untuk mengetahui tujuan sesebuah penulisan Sejarah itu dilakukan. Justeru, objektif
kajian penulisan berkaitan dengan Sejarah Asal Usul Masyarakat Sekapan Di
Daerah Belaga ini adalah untuk mengkaji serta mengetahui sejarah asal usul
masyarakat Sekapan secara lebih terperinci dan mendalam. Selain itu, kajian ini
juga bertujuan untuk mengenal pasti kegiatan sosiobudaya masyarakat Sekapan di
Belaga. Di samping itu, kajian ini adalah untuk menganalisis sejauh manakah
kedatangan masyarakat Sekapan berperanan dalam perkembangan sosiobudaya di
Belaga.
1.5
SKOP DAN BATASAN KAJIAN
Saya
akan mengkaji mengenai Sejarah Asal Usul Masyarakat Sekapan Di Daerah Belaga
yang sudah wujud di daerah ini sejak lebih ratusan tahun lalu dan merupakan
satu-satunya daerah yang merupakan petempatan utama kaum Sekapan di Sarawak.
Antara isu yang dikaji ialah pada bab dua saya akan menceritakan tentang
sejarah asal usul masyarakat Sekapan di Belaga. Selain itu dalam bab dua juga
saya akan menceritakan tentang faktor-faktor kedatangan masyarakat Sekapan di
Belaga dari faktor sosial dan ekonomi masyarakat Sekapan. Pada bab tiga pula
saya akan mengkaji dan mengenal pasti tentang perkembangan sosiobudaya
masyarakat Sekapan dari aspek pakaian, perkahwinan dan kematian. Di samping
itu, kajian ini juga akan mengenal pasti tentang kegiatan sara diri masyarakat Sekapan
di Belaga yang dilakukan pada masa dahulu iaitu sebelum penjajahan keluarga
Brooke.
1.6
METODOLOGI KAJIAN
Metodologi
kajian merupakan perkara yang penting yang perlu dilakukan oleh pengkaji
Sejarah sebelum memulakan sesebuah penulisan Sejarah. Ini kerana seseorang
sejarawan atau pengkaji Sejarah perlu mengumpul maklumat daripada pelbagai
sumber dengan menggunakan pebagai kaedah kajian. Oleh yang demikian, saya telah
menggunakan kaedah-kaedah kajian yang berikut dalam mengumpul maklumat untuk
kajian yang ingin saya lakukan berkaitan dengan Sejarah Asal Usul Masyarakat
Sekapan Di Daerah Belaga. Kaedah pertama yang saya gunakan ialah kaedah temu
bual di mana saya telah mengumpul maklumat tentang asal usul masyarakat Sekapan
dengan menemubual ahli keluarga saya seperti moyang, nenek dan pak cik saya.
Selain
itu, saya juga telah menggunakan kaedah kajian perpustakaan
dengan meminjam beberapa buah buku di perpustakaan di IPG Kampus Rajang yang berkaitan dengan asal usul masyarakat Kajang (Sekapan) di Borneo. Bukan itu sahaja, saya juga telah menggunakan kaedah pemerhatian. Saya telah membuat pemerhatian tentang persamaan bangsa Sekapan dengan bangsa-bangsa lain di Sarawak yang dipercayai mempengaruhi sejarah asal usul masyarakat Sekapan di Belaga. Sebagai contoh dari aspek bahasa Sekapan dengan bahasa Melanau yang terdapat sedikit persamaan dari segi sebutan dan maksud. Kaedah yang terakhir yang saya telah gunakan ialah kaedah penyelidikan di mana saya telah melayari laman sesawang dan mencari maklumat di laman web berkaitan dengan penulisan Sejarah yang akan saya lakukan. Di samping itu, saya juga telah membuat penyelidikan ke Pejabat Daerah Belaga untuk mengumpul beberapa maklumat yang berkaitan dengan masyarakat Sekapan.
dengan meminjam beberapa buah buku di perpustakaan di IPG Kampus Rajang yang berkaitan dengan asal usul masyarakat Kajang (Sekapan) di Borneo. Bukan itu sahaja, saya juga telah menggunakan kaedah pemerhatian. Saya telah membuat pemerhatian tentang persamaan bangsa Sekapan dengan bangsa-bangsa lain di Sarawak yang dipercayai mempengaruhi sejarah asal usul masyarakat Sekapan di Belaga. Sebagai contoh dari aspek bahasa Sekapan dengan bahasa Melanau yang terdapat sedikit persamaan dari segi sebutan dan maksud. Kaedah yang terakhir yang saya telah gunakan ialah kaedah penyelidikan di mana saya telah melayari laman sesawang dan mencari maklumat di laman web berkaitan dengan penulisan Sejarah yang akan saya lakukan. Di samping itu, saya juga telah membuat penyelidikan ke Pejabat Daerah Belaga untuk mengumpul beberapa maklumat yang berkaitan dengan masyarakat Sekapan.
1.7
SIGNIFIKAN KAJIAN
Melalui
hasil kajian yang dijalankan, diharapkan agar kajian ini dapat menjadi bahan
rujukan tambahan kepada para pengkaji pada masa akan datang berkaitan dengan
masyarakat Sekapan. Seterusnya
ialah hasil kajian ini diharapkan dapat menyedarkan masyarakat setempat tentang
asal usul kaum Sekapan di Belaga. Di samping itu, kajian ini juga bertujuan
untuk memastikan masyarakat luar lebih mengenali asal usul dan budaya
masyarakat Sekapan yang merupakan kelompok minoriti di Sarawak.
BAB 2
SEJARAH ASAL USUL MASYARAKAT
SEKAPAN DI BELAGA
2.0 PENGENALAN
Masyarakat
Sekapan merupakan salah satu daripada kaum etnik yang sudah lama menetap di
negeri Sarawak. Secara khususnya mereka menetap di dua buah rumah panjang,
iaitu Rumah Sekapan Panjang dan Rumah Piit yang dipimpin oleh seorang laja levou.[6] Mereka telah menetap di sini untuk
tempoh yang cukup lama iaitu dianggarkan lebih 200 tahun. Ini boleh dibuktikan
dengan kewujudan kelirieng[7]
yang dianggarkan berusia sekitar 200 tahun yang dihadiahkan oleh kaum Sekapan
dan kaum Punan Bah dari daerah Belaga, Ulu Sungai Rajang, Sarawak yang telah
didirikan di perkarangan Muzium Negara pada 1 November 1979.[8] (Sila rujuk Gambar 1 dalam Lampiran 1)
Pada
awal abad yang ketujuh belas kaum Sekapan dipercayai telah menetap di kawasan
Sungai Kajang, iaitu sebatang sungai di simpang Sungai Linau. Pada masa itu
juga terdapat kaum Kejaman, Lahanan, Punan dan Penan Busang telah menetap di
sekitar kawasan Sungai Kajang.[9] Walaupun kaum-kaum ini
berlainan etnik, didapati ada banyak persamaan di antara mereka. Mereka
bertutur bahasa ibunda yang hampir sama serta mengamalkan adat-istiadat dan
kebudayaan yang sama. Oleh yang demikian, pada hari ini kaum-kaum tersebut
telah dikategorikan dalam sebuah rumpun masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat
Kajang.
Selepas
hidup di sekitar kawasan Sungai Kajang dan kawasan-kawasan hulu dan hilir
Sungai Linau berpuluh-puluh tahun, kaum Sekapan berpindah ke hilir Sungai Murum
ke kawasan muara Sungai Belaga hingga ke kawasan Giam Bungan serta terus
menetap di kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Belaga. Manakala, kaum
Kejaman telah berpindah ke hilir Sungai Linau ke kawasan lembah Batang Balui
hingga ke muara Sungai Belaga dan menetap sehingga hari ini. Kaum Lahanan pula telah
berpindah turun ke muara Sungai Murum dan terus ke hulu sehingga kawasan Sungai
Pangai dan telah menetap di sini.
2.1 LATAR
BELAKANG MASYARAKAT SEKAPAN
Masyarakat
Sekapan sering dikaitkan dengan masyarakat Melanau. Buktinya, Nalong dan Johnny
(2009) menyatakan bahawa keturunan Sekapan sebenarnya berasal daripada
keturunan Melanau. Keturunan Melanau yang telah berhijrah ke Batang Rajang
telah menetap di sana sehingga sekarang dan berpecah kepada beberapa bangsa
kecil seperti bangsa Kejaman, Sekapan, Lahanan dan Punan. Charles Tenggoi
(1989) turut menyatakan bahawa kaitan orang Melanau dengan orang Kajang
berdasarkan sejarah lisan, organisasi sosial, adat istiadat dan budaya
kebendaan dan bahasa mereka.[10] Clayre (1971) juga menyebut
tentang Melanau yang mempunyai persamaan bahasa dengan Sekapan.[11] Contoh perkataan yang
dibandingkan oleh Clayre ialah bawai-naik,
dan baai-turun.
Menurut
satu lagenda, dipercayai bahawa nenek moyang masyarakat Melanau berhijrah dari
Pulau Bali, Indonesia ke Sarawak lebih dari 500 tahun dahulu. Mereka yang pada
ketika itu berkepercayaan pagan berhijrah dari Bali ke Borneo kerana mahu mengelak
daripada memeluk agama Hindu dan Islam. Mereka telah mengembara merentasi Lautan
Jawa dan mula mendarat di kawasan pesisiran pantai di daerah Lundu yang
sekarang ini dikenali sebagai Teluk Melano. Dari situ, mereka mengembara ke
sepanjang kawasan pesisiran pantai sarawak dan akhirnya menetap di pelbagai
kawasan pesisiran pantai di antara Kuala Rajang dan Kuala Baram. Manakala mereka
yang lebih berani telah mengembara sehingga ke kawasan pendalaman Sarawak dan dikenali sebagai
masyarakat Kajang iaitu Lahanan, Sekapan, Kejaman dan Punan.
Selain
itu, kewujudan sebuah tempat di Filipina yang dipanggil Mindanao menimbulkan
kepercayaan sesetengah orang bahawa Melanau berkemungkinan berasal daripada
perkataan Mindanao. Walau bagaimanapun, tidak terdapat bukti sejarah yang
menunjukkan perkaitan di antara dua perkataan ini.[12] Berdasarkan peta yang
diterbitkan di Itali pada tahun 1595, perkataan Malano telah ditulis di
sepanjang kawasan pesisiran pantai yang meliputi Batang Oya, Batang Mukah dan Batang
Balingian. Ini dapat menunjukkan bahawa masyarakat Melanau telah menetap sejak
sekian lama di kawasan tersebut.
Oleh
yang demikian, kebanyakkan sumber-sumber sejarah membuktikan bahawa masyarakat
Sekapan berasal daripada kelompok masyarakat Melanau yang telah berhijrah dari
Pulau Bali, Indonesia dan telah menetap di pedalaman Belaga. Hal ini juga
dibuktikan dengan kepercayaan pagan yang dianuti oleh masyarakat Sekapan pada
masa dahulu sebelum pemerintahan James Brooke yang telah membawa masuk agama
Kristian. Justeru, masyarakat Sekapan merupakan rumpun bangsa yang sama dengan
Melanau sebelum berpecah kepada kelompok-kelompok kecil yang kini menetap di
kawasan sekitar Belaga.[13]
2.2 FAKTOR
KEDATANGAN MASYARAKAT SEKAPAN DI BELAGA
2.2.1 Faktor Sosial
Faktor
sosial telah menjadi faktor utama kepada kedatangan masyarakat Sekapan di
Belaga. Masyarakat Sekapan yang dipercayai daripada tergolong kelompok Melanau
yang berkepercayaan pagan berhijrah dari Pulai Bali ke Borneo kerana mahu
mengelak daripada memeluk agama Hindu dan Islam.[14] Selain itu, Pada awal
abad yang ketujuh belas kaum Sekapan dipercayai telah menetap di kawasan Sungai
Kajang, iaitu sebatang sungai di simpang Sungai Linau. Kaum Sekapan telah hidup
di sekitar kawasan Sungai Kajang bersama-sama dengan kelompok kaum lain seperti
kaum Kejaman, Lahanan, Punan dan Penan sebelum berpindah ke sekitar kawasan
Belaga.
Justeru,
kelompok kaum ini berpindah secara beramai-ramai selepas hidup di sekitar
kawasan Sungai Kajang dan kawasan-kawasan hulu dan hilir Sungai Linau
berpuluh-puluh tahun. Kaum Sekapan telah berpindah ke hilir Sungai Murum ke
kawasan muara Sungai Belaga hingga ke kawasan Giam Bungan serta terus menetap
di kawasan tersebut yang kini dikenali sebagai Belaga.[15] Manakala, kaum Kejaman
pula telah berpindah ke hilir Sungai Linau ke kawasan lembah Batang Balui
hingga ke muara Sungai Belaga dan menetap sehingga hari ini. Kaum Lahanan pula telah
berpindah turun ke muara Sungai Murum dan terus ke hulu sehingga kawasan Sungai
Pangai dan telah menetap di kawasan tersebut sehingga sekarang.
Faktor
masyarakat Sekapan ini berpindah dari Sungai Kajang ke sekitar kawasan Belaga
adalah untuk membentuk kelompok sendiri yang dipimpin oleh raja dari kaum
masing-masing. Oleh itu, mereka telah berpindah dan mencari kawasan yang sesuai
untuk mereka mendirikan perkampungan dan juga kawasan yang selamat daripada
binatang buas dan juga musuh.
2.2.2 Faktor Ekonomi
Faktor
ekonomi juga telah menjadi faktor utama kepada kedatangan masyarakat Sekapan di
Belaga. Kawasan Sungai Kajang, Sungai Linau, Sungai Murum, Sungai Belaga dan
Giam Bungan merupakan kawasan di mana kaum Sekapan telah selalu berpindah-randah
menerokai hutan tempat bercucuk tanam serta mendapatkan hasil-hasil hutan untuk
menyara kehidupan seharian mereka. Disebabkan bilangan penduduk yang banyak dan
bertambah menyebabkan masyarakat Sekapan ini telah berhijrah dari Sungai Kajang
sehinggalah mereka sampai di kawasan sekitar Belaga.[16] Hal ini kerana dengan
pertambahan penduduk menyebabkan tanah pertanian kurang dan tidak cukup untuk
menampung keperluan harian.
Setelah
sampai di sekitar kawasan Belaga, masyarakat Sekapan telah membuat keputusan
untuk membina perkampungan di tebing sungai Belaga kerana mereka merasakan
bahawa kawasan di sekitar tersebut adalah baik dan luas untuk menjalankan
aktiviti pertanian. Oleh yang demikian, masyarakat Sekapan telah berpindah ke
hilir dan mempunyai tanah dan kawasan yang luas untuk menjalankan aktiviti
pertanian dan berkebun dan buktinya dapat dilihat dengan keluasan tanah
pertanian yang dimiliki oleh masyarakat Sekapan dari kawasan Sungai Belaga
hingga ke kawasan Giam Bungan.
2.3 KESIMPULAN
Kesimpulannya,
jelas menunjukkan bahawa masyarakat Sekapan ini berasal daripada keturunan
Melanau yang berhijrah daripada Pulau Bali, Indonesia dan seterusnya menetap di
kawasan Belaga sehingga kini. Namun demikian, dipercayai bahawa masyarakat
Sekapan juga berasal daripada keturunan Melanau yang berhijrah dari kepulauan
Mindanao, Filipina. Ini dilihat dari aspek bahasa dan perkataan yang hampir
sama dengan masyarakat di sana. Namun, kesahihan cerita sebenar sama ada
masyarakat ini berasal dari kepulauan Bali atau kepulauan Mindanao perlu dikaji
dengan lebih mendalam lagi bagi membuktikan asal usul sebenar masyarakat
Sekapan yang dikatakan merupakan pecahan daripada kaum Melanau.
BAB 3
KEHIDUPAN SOSIOBUDAYA MASYARAKAT
SEKAPAN DI BELAGA
3.0 PENGENALAN
Menurut
Robert (1849), Belaga pada abad ke 19 merupakan tempat di mana terdapat bukit-bukau
yang masih kekal dan belum diterokai serta beberapa sungai yang masih jernih airnya.
Kawasan perkampungan di sekitar daerah Belaga pada ketika itu juga masih
terjaga dan terpelihara. Justeru, kehidupan sosiobudaya masyarakat Sekapan
hanya tertumpu pada sektor ekonomi sara diri dan mengekalkan adat budaya yang
diwarisi sejak turun temurun lagi.[17] Masyarakat Sekapan di
Belaga juga mengadakan hubungan baik dengan masyarakat lain di Belaga seperti
masyarakat Kejaman, Lahanan dan Punan kerana terdiri dalam kelompok yang sama
iaitu Kajang dan berasal daripada rumpun masyarakat Melanau yang
dipercayai datang dari kepulauan
Indonesia.
Pada
abad ke tujuh belas, aktiviti penanaman adalah lebih luas kerana masyarakat ini
menetap di tebing sungai dan kawasan bukit dijadikan sebagai tempat untuk menanam
tebu, padi, nanas, ubi keledek ubi kayu, tembakau dan banyak lain sayur-sayuran
digunakan. Dalam peperangan, masyarakat Sekapan hanya berjuang dengan tombak,
pedang dan perisai untuk mempertahankan diri daripada musuh. Sumpit jarang
digunakan kecuali dalam membunuh burung dan monyet yang merupakan makanan yang
mudah diperolehi kerana keadaan di Belaga yang berhutan tebal.
Selain
itu, masyarakat Sekapan telah diajar untuk membaling lembing dan penggunaan
pedang sejak usia belasan tahun. Penggunaan lembing dan pedang ini hanya diajar
untuk anak lelaki sahaja manakala anak perempuan akan melakukan kerja-kerja
yang ringan seperti bercucuk tanam, menternak binatang dan membuat kraftangan
seperti anyaman dan ukiran. Di samping itu, renang merupakan kemahiran yang ada
dalam setiap diri masyarakat Sekapan pada masa dahulu kerana hidup di tebing
sungai memudahkan mereka memperoleh sumber air untuk mandi dan juga memasak.
3.1 PAKAIAN
Dalam
adat masyarakat Sekapan, tatu merupakan perkara utama yang perlu ada dalam
kalangan lelaki dan perempuan. Ini merupakan tradisi suku kaum Sekapan yang
patut dipatuhi oleh semua pihak pada ketika itu.[18] Amalan bertatu pada masa
dahulu tidak sama dengan amalan pada masa kini. Amalan ini biasanya berlaku
sebelum mencapai akil baligh untuk meningkatkan keindahan perempuan Sekapan dan
memudahkan mereka untuk menemui jodoh. Ini kerana, tatu merupakan lambang
kecantikan dan keayuan gadis-gadis Sekapan pada zaman dahulu dan ini akan
menarik kaum lelaki untuk berkahwin dengan mereka. Membuat tatu pada zaman
dahulu memakan masa sehari suntuk atau sekurang-kurangnya tiga minggu untuk
kedua-dua tangan kering sepenuhnya. Biasanya, tatu itu akan menggunakan tiga
hingga lima jarum supaya kedua-dua tangan bermula dari siku hingga ke jari
dapat ditutup sepenuhnya dengan dakwat.
Seperti
jiran-jiran mereka iaitu Kayan dan Kenyah, masyarakat Sekapan juga terpaksa
memanjang cuping telinga sehingga paras bahu untuk melengkapkan nilai
kewanitaan mereka. Menurut seorang wanita Sekapan, setelah cuping telinga
mereka dimasukkan dengan tembaga berat merupakan pengalaman yang menyakitkan
tetapi mereka terpaksa bertahan demi kecantikan dan tradisi.[19] Bagi kaum lelaki pula,
mereka juga terpaksa memanjangkan cuping telinga supaya boleh menghiasi mereka
dengan gigi harimau bagi menunjukkan bahawa mereka merupakan seorang yang gagah
dan perkasa. (Sila rujuk Gambar 2 dalam
Lampiran 2 dan Gambar 3 dalam Lampiran 3)
3.2 PERKAHWINAN
Perkahwinan
adalah dibenarkan bagi lelaki dan perempuan setelah mereka mencecah akil
baligh. Perkahwinan biasanya berlaku pada usia yang muda. Dalam perkahwinan
golongan atasan Sekapan, adat perkahwinan mereka biasanya disambut dengan
meriah. Ini kerana adat zaman dahulu ialah menghormati raja serta tidak boleh
derhaka jika tidak mahu terkena tulah. Pengantin lelaki akan menentukan wanita
mana yang ingin dikahwini.
Namun
begitu, mereka mesti memilih pasangan daripada kelas sosial yang sama.
Contohnya lelaki yang berketurunan raja perlu memilih wanita daripada keturunan
maren sebagai isteri. Jika tidak,
perkahwinan tersebut tidak akan direstui oleh laja levou dan juga ibu bapa pengantin lelaki tersebut. Begitu juga
sebaliknya di mana lelaki berkelas panyin hanya boleh berkahwin dengan wanita dari
kelas sosial yang sama. Lelaki dipen[20]
pula akan berkahwin dengan wanita dari kelas dipen. Dalam hal ini, setelah seseorang dipen wanita berkahwin dengan lelaki tersebut, dia akan mengikut
suaminya dan menjadi hamba di rumah golongan atasan.
Semasa
perkahwinan, lelaki akan memakai bai,[21]
baju yang dibuat daripada kulit binatang, serta perhiasan kepala daripada
bulu kenyalang yang indah dan parang yang mempunyai ukiran halus yang
dililitkan di pinggang. Manakala pihak perempuan pula akan mengenakan baju
tradisional yang dibuat daripada kain baldu serta dihiasi dengan manik-manik
bagi mewujudkan corak yang indah, memakai tapa’u[22]
serta selendang yang diletakkan di bahu.
Bagi
golongan atasan atau raja, pengantin akan duduk di atas kerusi yang direka khas
dan diarak oleh golongan dipen
mengelilingi rumah panjang sebanyak tujuh kali bagi menandakan pangkat serta
keturunan mereka sebelum disahkan oleh ketua adat atau laja levou. Setelah itu mereka akan duduk di atas gong tembaga bagi
upacara adat.[23]
Oleh yang demikian, jelas menunjukkan bahawa cara perkahwinan bagi golongan
atasan dan bawahan masyarakat atasan adalah berbeza mengikut pangkat dan
keturunan seseorang. (Sila rujuk Gambar 4
dalam Lampiran 4)
3.3 KEMATIAN
Adat kematian dalam
masyarakat Sekapan sebelum kedatangan agama Kristian adalah amat unik. Hal ini
kerana, masyarakat Sekapan menganuti agama Pagan atau kepercayaan terhadap alam
semula jadi dan makhluk ghaib. Dalam adat kematian masyarakat Sekapan, apabila
seseorang berketurunan Raja Sekapan meninggal dunia maka akan disemadikan di
satu tiang yang cukup besar dan kuat yang dikenali sebagai kelirieng. Kelirieng ini diperbuat daripada Kayu Belian manakala
akan diletakkan korban manusia iaitu daripada golongan hamba yang masih hidup untuk disemadikan
bersama si mati. Tujuan seorang gadis daripada golongan hamba atau dipen dalam bahasa Sekapan dikorbankan adalah untuk mengiringi roh bangsawan Sekapan yang telah mati. Gadis tersebut akan
diikat di atas puncak kelirieng tanpa
makanan dan minuman. Mereka percaya apabila si gadis mati kebuluran, rohnya
akan menjaga tuan iaitu golongan bangsawan yang disemadikan di dalam lubang kelirieng.
Kelirieng
merupakan tempat persemadian terakhir untuk golongan aristokrat kaum Sekapan
atau golongan Raja pada ketika itu. Kelirieng
diperbuat daripada pokok kayu belian yang besar dan cukup matang. Cuma kayu
belian saja yang tahan lama terdedah pada tempat terbuka. Biasanya dua atau
tiga buah lubang dikorek pada tiang kelirieng
tersebut. Pada lubang bawah dan tengah adalah untuk menempatkan mayat atau
rangka tulang si mati dan alat kelengkapan seperti barang-barang bernilai
sebagai bekalan pada dunia baru atau alam mati. Manakala lubang di atas
biasanya dikhaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si
mati sewaktu hidupnya.
Pada luar tiang Kelirieng biasanya diukir indah dengan
bermotifkan alam semula jadi dan tertakluk kepada kedudukan pemiliknya. Begitu
juga dengan ketinggian kelirieng melambangkan
kedudukan dan darjat pemiliknya. Biasanya ketinggian kelirieng ialah dari 8 meter ke 12 meter dan 4 meter lebar
lilitannya. Hanya orang-orang yang mahir, tegap dan tinggi semangatnya sahaja
layak untuk membuat, mengukir dan mendirikan kelirieng. Biasanya seramai lima belas hingga tiga puluh orang
bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja tersebut.
Penggunaan kelirieng sebagai alat perkuburan
aristokrat Sekapan hanya dipraktikkan dalam zaman animisme beratus-ratus tahun
dahulu. Kelirieng adalah kebanggaan
mereka sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan
kekayaan sewaktu hidupnya. Seperti juga penganut agama atau kepercayaan lain
bahawa akan ada alam lain sesudah mati. Alam yang kekal kerana tidak akan mati
sesudah hidup di alam baru.
Sepanjang masa
mendirikan kelirieng, semua pekerja
telah berkampung berdekatan tapak pembinaan. Sebelum tahun 1960an masyarakat
Kajang masih mengamalkan adat istiadat menulang, di mana mayat si mati telah
disimpan dalam keranda yang dinamakan biguan.[24] Biguan adalah keranda yang ditebuk daripada sebatang kayu yang
sesuai besarnya dengan mayat si mati dan keranda ini telah diukir dan dihias
dengan cantik. Apabila kerja ini telah selesai, keranda ini akan diasingkan
dari rumah panjang dalam masa beberapa bulan atau beberapa tahun sepanjang masa
membuat tempat perkuburan seperti mendirikan kelirieng. Apabila semua kerja ini sudah siap, keranda ini dibawa
semula ke rumah panjang dimana diadakan upacara mudzu.[25]
Upacara mudzu diadakan selama lapan hari atau
enam belas hari mengikut pangkat keturunan si mati. Jika seseorang itu tergolong
daripada keturunan laja levou,
upacara tersebut mesti dijalankan selama enam belas hari atau lebih lama lagi.
Pada malam terakhir upacara mudzu
akan diadakan malam terakhir di mana semua jenis makanan dan minuman
dihidangkan kepada semua tetamu yang datang. Semua penduduk rumah panjang serta
penduduk rumah panjang jiran turut dijemput datang. Pada keesokannya keranda
itu akan dibawa ke kubur dan keranda ini akan dibuka dan semua tulang,
tengkorak dan semua rangka badan si mati disimpan semula ke dalam sebuah tajau[26]
dan terus disimpan dalam kelirieng.
Berdasarkan kepada
kajian penggunaan Jerunei atau “keliding”
bagi kaum Melanau, “kelirieng” bagi
kaum Kayan dan Kajang dan “lijeng”
bagi kaum Berawan mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk perkuburan golongan
aristokrat masing-masing. Kesemua suku kaum tersebut mengamalkan sistem beraja
dan masyarakatnya mempunyai tingkatan rasa hormat dan taat setia tidak berbelah
bagi kepada raja dan pemimpin mereka. Kesemua kaum di atas percaya adanya hidup
yang kekal sesudah mati dan tidak akan mati-mati lagi. Mereka juga percaya
bahawa golongan aristokrat akan membawa kedudukan yang sama apabila berada di
alam lain nanti.
Amalan tersebut
dikatakan telah dilakukan ratusan tahun yang lampau, dan pada abad ke 19
sedikit demi sedikit amalan tersebut tidak dilakukan setelah kedatangan agama
Kristian di Sarawak. Penggunaan kelirieng
telah dihapuskan oleh masyarakat Sekapan apabila fahaman dan pengajaran agama
Kristian mulai bertapak di Belaga. Amalan penggunaan kelirieng tidak lagi digunapakai dan kali terakhir dibina ialah
pada tahun 1880 di Belaga. Ini kerana mereka mula sedar bahawa membunuh manusia
walaupun sebagai bahan korban adalah suatu penyeksaan dan dosa besar. Upacara
itu bukan sahaja melambangkan adat istiadat yang unik kini telah pupus, tetapi
untuk mengeratkan tali perhubungan dalam kalangan penduduk. Namun demikian,
sampai hari ini kita masih dapat melihat peninggalan beberapa buah kelirieng di kawasan masyarakat kaum
Kajang seperti kaum Kejaman, Sekapan, Punan dan Lahanan.[27] (Sila
rujuk Gambar 5 dalam Lampiran 5)
3.4 KEGIATAN
SARA DIRI
3.4.1 Menternak Binatang
Kegiatan
harian menternak binatang merupakan aktiviti sampingan masyarakat Sekapan kerana
menternak binatang seperti babi, ayam dan itik dapat mengisi masa lapang mereka
serta dijadikan sebagai sumber makanan. Selain itu, masyarakat Sekapan biasanya
menternak binatang-binatang ini di bawah rumah. Ini kerana, keadaan rumah
panjang mereka yang dibina tinggi dengan bertiangkan kayu belian menyebabkan
mereka membina kandang babi, ayam dan itik di bawah rumah panjang tersebut. Di
samping itu, tujuan mereka menternak binatang juga adalah sebagai korban semasa
perayaan atau upacara keagamaan.
3.4.2 Bercucuk Tanam
Aktiviti
bercucuk tanam merupakan aktiviti utama masyarakat ini. Ini kerana kawasan
muara sungai yang subur memudahkan mereka menjalankan aktiviti bercucuk tanam.
Bagi masyarakat Sekapan, laja levou akan
menentukan kawasan-kawasan bagi anak-anak buahnya menanam padi bukit, buah-buahan
dan dan sayur-sayuran. Kaum Sekapan telah selalu hidup berpindah-randah untuk menerokai
hutan tempat bercucuk tanam serta mendapatkan hasil-hasil hutan.
Dalam masyarakat Sekapan, lelaki dan
perempuan daripada kelas panyin[28]
masing-masing akan mengambil bahagian dalam kerja penanaman padi, tembakau
dan pelbagai jenis sayur-sayuran yang mempunyai kuantiti mencukupi untuk
kegunaan sendiri dan keluarga mereka. Dalam penanaman sayur-sayuran, cangkul
akan digunakan untuk membuat batas sayuran. Manakala menyemai padi kaedah nugan[29]
akan digunakan. Mereka menjalankan aktiviti menabur dan menuai padi sebanyak dua
kali dalam sepuluh bulan. Justeru, dalam tempoh lima bulan, mereka akan
menyediakan tanah, menanam dan menuai padi.[30]
3.4.3 Memungut Hasil Hutan
Memungut
hasil hutan merupakan pekerjaan yang dilakukan oleh kaum lelaki sahaja dalam
masyarakat Sekapan. Hal ini kerana kaum lelaki terutamanya ketua sesebuah
keluarga akan masuk ke dalam hutan untuk memungut hasil hutan seperti rotan,
gaharu, sarang burung serta daun atau pokok-pokok yang dapat digunakan untuk mengubati
penyakit. Dengan memungut hasil hutan tersebut ini akan dapat menampung
kehidupan seharian mereka. Selain itu, rotan yang dikumpul akan digunakan oleh
kaum perempuan untuk membuat tikar, bakul dan juga topi. Dengan adanya kegiatan
memungut hasil hutan telah menjadikan mereka orang yang sangat arif dengan
selok belok hutan yang tebal serta mereka dapat mempelajari tentang jenis-jenis
tumbuh-tumbuhan hutan yang boleh digunakan untuk menyembuhkan pelbagai jenis
penyakit.[31]
Ini menunjukkan apa yang disampaikan oleh pengarang Ooi. K. G (1997) adalah benar dengan bukti
yang dituliskan oleh pengarang Victor (1999),
“the
tribes Punan, Sakapan and Kajaman are the chief collectors of camphor and
bird’s nest.”[32]
Ini sekali gus membuktikan
bahawa masyarakat Sekapan menjalankan kehidupan harian mereka dengan mengumpul
hasil hutan dan telah menjadikan mereka orang yang sangat arif dengan selok
belok semasa di hutan.
3.4.4 Menangkap Ikan
Disebabkan
masyarakat Sekapan tinggal di muara sungai, aktiviti menangkap ikan merupakan
kegiatan utama yang dilakukan oleh mereka. Tujuan mereka menjalankan aktiviti
ini adalah untuk menampung kehidupan masing-masing. Justeru itu, mereka sangat
pandai dalam pembuatan perahu atau sampan kerana perahu dan sampan merupakan pengangkutan
utama yang digunakan oleh mereka untuk berhubung dengan kaum-kaum lain di
sekitar Belaga dan juga untuk menangkap ikan di sungai. Selain itu, masyarakat
Sekapan juga pandai dalam membuat jala dan bubu untuk menangkap ikan. Ini dapat
dibuktikan sehingga kini amalan tersebut masih diamalkan dalam masyarakat
Sekapan jika ingin menangkap ikan. (Sila rujuk
Gambar 6 dalam Lampiran 6)
3.4.5 Memburu Binatang
Selain
masuk ke dalam hutan untuk memungut hasil hutan, masyarakat ini juga turut
memburu binatang. Justeru, sebelum masuk ke dalam hutan, mereka akan
menyediakan segala peralatan seperti lembing dan pedang. Tujuan peralatan ini
dibawa adalah untuk melindungi diri mereka daripada binatang buas. Bukan itu
sahaja, mereka menggunakan lembing dan parang untuk memburu binatang seperti
babi hutan, rusa, kijang dan kancil. Biasanya aktiviti memburu ini dilakukan
oleh kaum lelaki sahaja. Bagi masyarakat Sekapan, mereka akan mengajar
anak-anak lelaki sejak kecil lagi bagaimana hendak memburu dengan baik. Hal ini
bertujuan agar mereka boleh berdikari apabila dewasa kelak. Oleh itu, menurut
Victor (1999), masyarakat Sekapan merupakan pemburu yang hebat dan
berpengalaman telah diajar sejak kecil tentang cara memburu. [33]
3.5 KESIMPULAN
Kesimpulannya,
ekonomi sara diri dikenali sebagai ekonomi tradisional dan merujuk kepada aktiviti
ekonomi yang tidak menghasilkan lebihan produk untuk tujuan pemasaran melainkan
hanya untuk memenuhi keperluan sendiri dan keluarga sahaja. Penempatan utama
masyarakat Sekapan tertumpu di kawasan muara sungai. Ini kerana mereka amat
bergantung hidup dengan bertani dan menangkap ikan. Kawasan penempatan
masyarakat Sekapan adalah di kawasan pedalaman yang mempunyai keadaan muka bumi
yang berbukit bukau dan hubungan yang sukar di antara satu kawasan dengan satu
kawasan yang lain menyebabkan wujudnya perbezaan yang ketara di dalam dialek
pertuturan mereka dengan kaum Kejaman, Lahanan dan Punan. Namun demikian,
aktiviti serta kegiatan sosial dan budaya mereka hampir sama sehingga ke hari ini.
BAB 4
PENUTUP
4.0 Penutup
Saya
berharap, dengan hasil kajian saya ini, akan membuka mata masyarakat untuk
lebih menghargai amalan dan budaya sosial yang diamalkan masyarakat Sekapan
yang semakin disisihkan oleh kaum majoriti di negara ini. Ini kerana masyarakat
Sekapan merupakan salah satu daripada kumpulan etnik yang paling terancam di
Sarawak. Ini disebabkan oleh asimilasi budaya mereka ke dalam masyarakat lain
yang tergolong dari kumpulan etnik yang lebih besar dan lebih menonjol seperti
Iban, Bidayuh, Melanau, Kenyah, Kayan, Melayu dan juga Cina. Masyarakat Sekapan
hanya didapati di dua buah penempatan iaitu di Sekapan Panjang dan Sekapan
Piit. Usaha-usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya mereka tidak pernah
serius sehingga menyebabkan mereka tidak dikenali dan diiktiraf oleh masyarakat
lain yang terdiri daripada kelompok majoriti. Justeru, dengan adanya penulisan
Sejarah berkaitan dengan masyarakat Sekapan ini diharapkan agar kaum Sekapan
dapat diiktiraf oleh kumpulan-kumpulan etnik yang lebih besar bukan sahaja di
Belaga tetapi juga di seluruh negara.
[1] terletak di Hulu Rajang, Bahagian
Kapit, dan merupakan sebuah daerah yang luas dengan keluasan 19,403.27 km per
segi, dan terletak jauh di pedalaman Negeri Sarawak.
[2] Burns, R, The Kayans of the North-West of Borneo, Journal of the Indian
Archipelago and Eastern Asia, 1849. Vol. III, pp. 138-52.
[3]
Charles Tenggoi Aseng, History and
Relationship of Melanau to Other Ethnic Groups, Sarawak Museum Journal, 1989. Vol. XL. No 61
(New Series). No. 4. M.s. 189-197.
[4] Clayre, I.F.C.S, The Kajang Kingdom, Sarawak Gazette, 1971. No. 1362.
[5] Nalong anak Buda dan Johnny anak
Chuat, Iban Pegai Rajah Brooke,
Bintulu, Pegari Iban Production, 2009.
[6] Bermaksud raja dalam sesebuah rumah
panjang yang diwarisi sejak turun temurun.
[7] Tiang pengebumian yang digunakan oleh
masyarakat Sekapan untuk menyimpan mayat golongan atasan.
[9] Aichner, P, Punan, Penan, Bukitan, Kajaman, Kajang and Kayan, Sarawak Museum
Journal, 1958, VIII: 12, pp. 741-742.
[10] Charles Tenggoi
Aseng. op. cit., No. 4. M.s. 189-197.
[11] Clayre, I.F.C.S. op. cit., No. 1362.
[12] Temu ramah dengan Bapai Gumang di
Kampung Sekapan Piit, Belaga, Sarawak pada 19 Februari 2015.
[15] Temu ramah dengan Bapai Gumang di
Kampung Sekapan Piit, Belaga, Sarawak pada 19 Februari 2015.
[16] Temu ramah dengan Ikap Saging di
Kampung Sekapan Piit, Belaga, Sarawak pada 20 Februari 2015.
[17] Burns, R. op. cit., Vol. III, pp.
138-52.
[18] Peter Sibon, The Sekapans A Vanishing Tribe, Borneo Post, 2 December 2012.
[19] Temu ramah dengan Bali Sawing di
Kampung Sekapan Piit, Belaga, Sarawak pada 17 Februari 2015.
[20] Gelaran bagi golongan hamba dalam
masyarakat Sekapan.
[21] Sejenis kain cawat satin yang
dikenakan oleh kaum lelaki untuk menutup bahagian tertentu semasa hari perkahwinan.
[22] Sejenis topi yang digunakan oleh kaum
wanita semasa hari perkahwinan bagi menunjukkan keayuan dan kecantikkan
pengantin tersebut.
[23] Upacara adat merupakan upacara yang
dijalankan dengan memberi hantaran seperti set pakaian tradisional, barangan
tembaga, gong dan juga parang kepada pengantin perempuan.
[24] Sejenis keranda yang digunakan untuk
menjalankan istiadat menulang.
[25] Upacara yang diadakan untuk
menghormati si mati dan biasanya dijalankan selama seminggu atau lebih mengikut
pangkat si mati.
[26] Bermaksud tempayan.
[27] Thomas Sharon, Burial
Customs of The Kejamans, Sarawak Museum Journal, 1971. XIX: 38-39, pp.313-316,.
[28] Rakyat biasa yang terdiri daripada
petani, nelayan dan pemburu. Golongan ini tidak bekerja untuk golongan atasan
seperti golongan dipen melainkan
untuk diri sendiri.
[29] Kaedah yang digunakan untuk menyemai
anak padi terutamanya padi bukit dengan menggunakan sebatang kayu yang bulat
dan panjang dicucuk ke dalam tanah lalu anak padi tersebut dimasukkan ke dalam
lubang tersebut.
[30] Victor T. King, Moving Pictures: More Borneo Travel, 1999. hlm 121.
[31] Ooi, K. G, Of Free Trade And Native Interests: The Brookes And The Economic Development Of Sarawak, 1841-1941. 1997.
[32] Ibid., hlm. 111.
[33] Victor T. King. op. cit., hlm 111.
Hai. Saya baru membaca blog anda. untuk pengetahuan anda. Saya adalah anak asal orang Sekapan. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas penulisan blog anda. Jarang orang menulis tentang etnik Sekapan. Anda berani melakukan kajian ini & menulis tentangnya. Cuma, saya cadangkan anda membuat kajian yang lebih mendalam lagi tentang etnik ini contohnya, anda katakan bahawa Sekapan berasal dari Melanau. Sebab setahu saya Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Melanau & etnik2 kajang lainnya, bukanlah berasal dari Melanau. Mereka adalah pecahan etnik yang asalnya memang hidup di rejang. Pribumi asal sungai rajang, sepertinya orang2 asli yang memang telah menetap di Taman Negara Pahang. Mereka mendiami kawasan ini jauh sebelum kaum Kayan & Kenyah berhijrah dari Indonesia border melalui Kalimantan. Contohnya, Orang Kenyah Long Dungan, memohon kebenaran dari Laja Sekapan, (mendiang Matu Puso) untuk mendiami tanah Long Dungan & Sepit selepas berhijrah dari Indonesia. Selain itu Kayan Buyun, turun memohon kebenaran mendiang Matu Puso untuk mendiami tanah orang Sekapan. Kaum2 minoriti asal rejang ini terdiri dari etnik Sekapan, Kejaman, Lahanan, Punan, Oket, Sihan, Penan aka Orang Asli Sarawak, Beketan, Tanjung, Melanau menamakan kumpulan mereka sebagai Kajang. Selain mendiami daerah yang sama, bahasa yang lebih kurang sama, mereka mempunyai budaya yang sedikit sebanyak sama seperti dowry kahwin kepada pihak isteri dengan beberapa jenis dan peringkat seperti maik kana, maik lega ), pikvak adet & macam2 hal lainnya. Mengikut sejarah kaum Kajang, pada zaman head hunter dahulu mereka masing2 telah berpecah untuk menyelamatkan etnik masing2 yang memang tidak ramai daripada kepupusan. Mereka berjanji untuk berjumpa semula pada pukul 9 malam (ketika 3 bintang muncul di langit). Satu2nya etnik yang tidak berjaya sampai ke tempat pertemuan pada masa itu ialah kaun Melanau, ekoran Head Hunter menghadang di area Pelagus. Kaum Melanau terpaksa kembali semula ke Sibu (dikenali sebagai Salim pada ketika itu). Sekali lagi terima kasih untuk kajian ini, cuma alang2 anda dah buat kajilah sebaik2 baiknya. Sebab kalau tersalah kajian anda, tersalah info, tersalah laporan tidak adil untuk orang2 yang anda kaji.
ReplyDeleteHai ladync. Saya setuju jga dengan anda...nampak gaya ada pelbagai cerita sebenar asal usul sekapan..boleh tk ladync menghubungi saya di fb saya since kita tak kenal sapa ladync..
DeleteSenang kita berbincang utk kehadapan..
Tq
Erick loohuat
Boleh sy tau apa makanan istimewa sekapan?
Deletenu'u ...diperbuat daripada tepung sagu...
DeleteKalau melanau, linut dan saguk yg dibuat dari tepung sagu.
Deletehai saya org bangsa baie bintulu ingin nak jumpa org sekapan utk belajar lebih lanjut seperti bahasa sebab ada persamaan.untuk pengetahuan anda kami vaie bukan nya melanau di sebabkan ada salah faham dari pihak lain.. harap boleh add fb saya mornilaisyah
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
DeleteErick loohuat
Deleteblh...sila add fb saya
Deleteerick loohuat
Hi, saya org melanau, saya lahir di rumah panjang melanau. Pada pendapat sy org melanau berasal dari kaum2 ulu spt sekapan. Banyak persamaan bahasa dan budaya. Melanau nenggunakan kelireng yg disebut kelideng.
ReplyDeleteHi bro-bro/sis,
ReplyDeleteSaya telah membuat sedikit sebanyak kajian mengenai Budaya Melanau, Bahasa Melanau, tradisi-tradisi PURBA MELANAU dan asal usul Kaum Melanau. Amat MENARIK kerana saya mendapati banyak persamaan Budaya, Amalan Tradisional, Bahasa dan Kepercayaan si antara bekas suku-suku kaum Kajang. Perkata'an Lebuk/levok ,Lepau, babui/bavui, temuk , salui merupakan perkata'an-perkataan yang diguna-pakai oleh hampir semua suku-suku kaum Kajang ini. Dari kajian saya pula, saya mendapati Melanau Dalat berasal dari Kaum Kanowit yang berundur/berpindah ke hulu Sungai Batang Oya melalui hulu sungai seberang Sungai Kanowit bila mereka diserang oleh Iban Saribas dan Iban Skrang yang dibawa oleh Rajah James Brooke. Kumpulan ini terus pindah ke kawasan Dalat kerana musuh-musuh mereka dapat menjejaki meteka sampai ke kawasan Hulu Oya.
Yang sangat MENARIK ialah fakta Kaum Melanau adalah juga Bangsa Dayak satu ketika dahulu.👌👍🙏